Blogger Layouts

Tuesday, 6 December 2011

Hikmah selawat kepada nabi


Selawat adalah amalan yang sangat disukai oleh Allah Taala sehingga Allah Taala dan MalaikatNya juga berselawat ke atas RasulNya Petikan dari Surah Al-Ahzab Ayat 56 yang berbunyi;

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا (٥٦)

Maksudnya : Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhamad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Hikmah-hikmah berselawat ke atas Nabi Muhammad saw

Pada setiap Sembahyang Jumaat menjelang tiba iaitu ketika mana sebelum khatib naik ke atas mimbar, kita selaku umat Islam pasti akan mendengar bilal membacakan kepada kita sepotong ayat al-Quran untuk kita ambil peringatan untuk sentiasa mengingati Nabi Muhammad saw dengan cara berselawat.


Allah swt berfirman di dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang tafsirnya bermaksud, "Sesungguhnya Allah dan para Malaikatnya berselawat (memberi rahmat) kepada Nabi Muhammad saw oleh kerana itu wahai orang-orang yang beriman ucapkanlah selawat (meminta rahmat) untuk Nabi saw dan ucapkanlah salam dengan penuh kehormatan terhadapnya".

Adapun antara ganjaran ataupun hikmah berselawat ini amat banyak sekali, berikut dicatatkan beberapa hikmah-hikmah berselawat yang bersumberkan daripada riwayat at-Taiyimi iaitu:



Pertama -
Para Malaikat akan berselawat pula ke atas pembaca selawat itu dan Allah akan menurunkan rahmatNya.

Kedua -
Allah akan mengurniakan kekayaan seumur hidupnya mereka yang berselawat 500 kali sehari, insya Allah akan memperoleh kemenangan dan keselamatan selamanya.

Ketiga -
Akan terhapus sifat marah dan terjauh dari bala bencana menjadi kekasih kepada kekasih Allah.

Keempat -.
Terhindar daripada mengalami kesukaran untuk mencapai sesuatu yang dihajati. Mendapat rezeki yang berkat, berhasil hajatnya dan terlindung daripada bala bencana.

Kelima -
Mendapat syafaat di dunia dan di akhirat.

Keenam -
Allah akan menggandakan limpah kurnia serta Rahmat kepadaNya orang tersebut. Ketujuh - Akan beroleh syafaat kepada Rasulullah padahari kiamat kelak.

Kelapan -
Satu kali selawat yang dibacakan, Allah akan membacakan untuknya sebanyak sepuluh kali.

Kesembilan -
Dapat membersihkan hati, jiwa dan roh kotor yang berselaput di dalam dada. Kesepuluh - Membuktikan kecintaan dan kasih sayang kita terhadap Rasulullah SAW.

Kesebelas -
Mewariskan kecintaan Rasulullah SAW pada umatnya.

Kedua belas -
Memantapkan iman di dalam dada.

Ketiga belas - Malaikat juga akan membaca selawat ke atas orang yang membaca selawat untuk Rasulullah SAW.

Keempat belas -
Seseorang itu akan terpelihara dan terselamat dari segala apa yang mendukacitakan atau yang merbahaya dari hal-hal keduniaan mahupun akhirat.

Kelima Belas -
Kedudukannya di akhirat kelak ia sentiasa hampIr di sisi Rasulullah SAW walau di mana saja baginda berada.



  1. Satu kali berselawat Allah swt akan membalas dengan 10 kali selawat untuknya.
  2. Satu kali berselawat Allah swt akan mengangkatnya baginya (orang yang berselawat) dengan 10 kali darjat.
  3. Malaikat juga akan turut membaca selawat ke atas orang yang membaca selawat untuk Rasulullah saw.
  4. Doa yang disertai dengan selawat akan diperkenankan oleh Allah swt, akan tetapi doa yang tidak disertai dengan selawat ianya akan tergantung di antara langit dan juga bumi.
  5. Akan mendapat tempat yang dekat dengan Rasulullah saw di Hari Kiamat nanti (kepada mereka yang selalu berselawat kepada Nabi Muhammad saw).
  6. Akan mendapat Syafa'at daripada Rasulullah saw di Hari Kiamat nanti.
  7. Allah swt akan menggandakan limpah kurnia dan juga rahmat-Nya kepada mereka yang berselawat untuk Nabi Muhammad saw.
  8. Selawat dapat membersihkan hati, jiwa dan roh yang kotor yang berselaput di dalam dada.
  9. Selawat dapat membuktikan kecintaan dan juga rasa kasih sayang kita terhadap Rasulullah saw.
  10. Selawat dapat mewariskan kecintaan Rasulullah saw terhadap umatnya.
  11. Selawat dapat dijadikan sebagai penyelamat dan juga dapat memelihara daripada segala apa juga yang dapat mendukacitakan dari hal keduniaan mahupun akhirat.
  12. Dengan membawa selawat akan dapat mengingatkan kembali apa-apa yang telah kita lupa.
  13. Orang yang selalu berselawat akan mendapat nur (cahaya) yang bersinar di dalam hati dan ianya akan berlaku bilamana kita berselawat 100 kali dengan cara selawat yang bersungguh-sungguh dan juga ikhlas.
  14. Mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan seorang hamba bilamana kita berselawat sebanyak 10 kali.
  15. Allah swt akan meluaskan dan juga melapangkan rezekinya dan juga sumber-sumber rezeki yang lainnya yang tiada kita ketahui.
  16. Allah swt akan memberatkan timbangan amalnya pada neraca timbangan di Hari Kiamat nanti.
  17. Mendapat keberkatan dari Allah swt bagi dirinya dan juga untuk kaum kerabat dan juga keluargannya.
  18. Keistimewaan berselawat dapat mendatangkan rasa kasih sayang dari hati-hati orang-orang mukmin lainnya terhadapnya.
  19. Selawat akan dapat mendekatkan dirinya dengan 'Telaga Haudh' iaitu telaga Rasulullah saw serta akan dapat pula meminumnya di Hari Kiamat kelak.
  20. Selawat dapat melepaskan diri seseoang itu daripada tergelincir semasa melalui titian sirat dan ia dengan selamat akan dapat menuju ke syurga. 

Demikianlah dicatatkan beberapa hikmah berselawat kepada junjungan kita Nabi Muhammad saw dan juga antara ganjaran-ganjarannya.Adalah amat digalakkan bagi kita semua umat Islam untuk sentiasa berselawat kepada Nabi saw kerana amat banyak sekali manfaat dan juga ganjaran yang akan dilipat gandakan.

"Ketahuilah bahawa apabila mereka berselawat ke atas Nabi Muhammad saw, maka para Malaikat pun akan turut berselawat bersama-sama mereka sehinggalah mereka selesai berselawat."(at-Taiyimi)


Ada banyak lagi kelebihan selawat itu jika diamalkan secara ikhlas. Di sini jelas, selawat adalah salah satu kaedah yang telah Allah SWT ajar kepada kita untuk menyelesaikan kemelut nafsu Ammarah dan Lawwamah. Nabi Adam a.s. manusia pertama di dunia, juga menyelesaikan kemelutnya ketika dikeluarkan daripada Syurga, iaitu bertawassul dengan menggunakan nama Nabi Muhamad SAW. Apabila Nabi Adam a.s. tercampak ke dunia, selama empat puluh tahun, baginda menangis memohon keampunan daripada Allah Taala. Setelah diketemukan semula baginda dengan isterinya Hawa, iaitu di Jabal Rahmah, Adam a.s. dibuka kasyafnya oleh Allah Taala untuk melihat perkataan. Perkataan ini dilihat oleh Nabi Adam a.s tertera di tiang arash Syurga.

Dengan menggunakan kebesaran dan keberkatan nama Nabi Muhamad SAW, Adam a.s. memohon keampunan daripada Allah sambil mengucap dua kalimah syahadah ini. Allah Taala kemudiannya mengampunkan Nabi Adam a.s. Contoh lain ialah kisah Qabil dan Habil (anak Nabi Adam a.s). Ketika Qabil yang telah membunuh saudara kandungnya Habil, sedang ditenggelamkan oleh Allah SWT hingga ke paras pinggang ke dalam tanah, tiba-tiba teringat dia akan pengalaman ayahnya iaitu Nabi Adam a.s. lalu Qabil bertawassul dengan kebesaran dan keberkatan nama Nabi Muhamad SAW, sehingga azabnya diringankan daripada ditelan bumi kepada dicampakkan sahaja di tengah-tengah padang pasir.

DARIPADA Ubai bin Ka'ab, katanya: "Ya Rasulullah saw! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak peruntukkan masa berselawat bagi tuan. Maka, sebanyak mana yang elok aku peruntukkan?"


Baginda menjawab: "Sekadar mana yang engkau suka." Aku berkata: "Aku hendak peruntukkan sesuku daripada masaku." Baginda bersabda: "Sekadar mana yang engkau suka dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu."

Aku berkata: "Kalau begitu aku peruntukkan setengah daripada masaku." Rasulullah bersabda: "Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu."

Aku berkata: "Kalau demikian, aku peruntukkan dua pertiga daripada masaku." Baginda bersabda: "Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu."

Aku berkata: "(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan." Baginda bersabda: "Jika demikian, terpelihara dan terselamatlah engkau daripada apa yang mendukacita dan membimbingkanmu sama ada perkara dunia mahupun akhirat dan diampunkan dosamu... "

Rasulullah SAW bersabda bahawa Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail berkata kepadaku. 

Berkata Jibril: "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak 10 kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail: "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu." 

Berkata pula Israfil: "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail pula berkata: "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut roh nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah SAW? Malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang yang berselawat ke atas Rasulullah SAW.

Begitu besarnya pahala orang yang berdoa dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Ganjaran yang diberikan bukan saja di dunia, malah di akhirat.

Lagipun, bukan sukar atau mengambil masa yang panjang untuk berselawat ke atas Nabi SAW. Lafaznya cukup mudah. Itulah tanda kasihnya Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW kepada umatnya supaya mampu mengerjakan amal mulia dan memperoleh ganjaran daripadanya.

Pada Jumaat yang mulia ini, umat Islam turut dituntut membanyakkan membaca selawat ke atas Nabi. Ganjaran bagi mereka yang memperbanyakkan selawat pada Jumaat adalah kasih sayang daripada Baginda.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkanlah amalan berselawat ke atasku kerana selawat kamu itu disampaikan kepada ku."


Antara hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah SAW ialah:

1. "Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. " (Riwayat Tabrani).

2. "Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).

3. "Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya." (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim).

4."Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu." (Riwayat Ibnu Murdawaih).

5. "Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya. " (Riwayat Ibnu Majar dan Jabir).

6. "Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga." (Riwayat Abus Syaikh dari Anas).

7."Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.” (Riwayat Tirmizi).

Di dalam kitab Ibnu Farhun Al Qurthubi dinyatakan bahawa membaca selawat kepada Nabi  SAW mengandungi sepuluh faedah dan mendatangkan kemuliaan, iaitu:

1.Memperolehi selawat dari Allah SWT.
2.Memperolehi syafaat dari Nabi Muhammad SAW.
3.Mendapat pimpinan dari malaikat yang baik-baik.
4.Menghapuskan dosa.
5.Mendapat pertolongan
6.Tercapai keperluan hidup.
7.Mempunyai pembeza dengan orang munafik dan kafir.
8.Memperolehi nur zahir dan batin.
9.Mendapat keselamatan dari azab neraka, membolehkan memasuki syurga.
10.Memperolehi ucap selamat dari Allah SWT. 

Menurut para ulama yang didasarkan keterangan-keterangan hadis, membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW akan memperolehi 30 faedah yang amat besar. Di antaranya ialah memperolehi limpah rahmat dari Allah, ditulis sepuluh kebajikan, dihapuskan sepuluh kesalahan, diangkat sepuluh darjat, memperolehi kesempurnaan iman, memperolehi syafaat Nabi Muhammad dan lain-lain lagi.

"ALLAH HUMMA SOLLI WASSALIM WABARIK ALAIH......WA A'LA ALAIH"

No comments:

Post a Comment